[peminat kami]

Thursday, 11 October 2012

Amali 2 : Nasi Dagang


PENGENALAN NASI DAGANG


Nasi dagang ialah makanan yang mengandungi hidangan nasi kukus, gulai ikan tongkol dan acar. Nasi dagang juga dihidangkan bersama-sama dengan telur sebus. Makanan ini dikenali sabagai menu sarapan pagi di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan. Selain itu, nasi dagang juga turut dikenali di Pattani, Yala dan Narathiwat di Selatan Thailand. Nasi dagang dikatakan berasal dari Kampung Ladang yang terletak di daerah Kuala Terengganu. Nasi dagang juga terkenal sebagai makanan keramaian di Terengganu dan Kelantan kerana kerap dihidangkan pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Nasi dagang ini biasanya dihidangkan ketika sebelum atau selepas umat Islam menunaikan Solat Sunat Hari Raya.

Selain daripada kombinasi nasi dan gulai, nasi dagang turut dihidangkan mengikut bersama lauk sampingan yang lain mengikut selera masing-masing. Biasanya nasi dagang yang dibeli di gerai mengandungi nasi, gulai dan acar. Namun sekiranya dimasak dirumah, ia turut dihidangkan bersama dengan telur rebus, kelapa goreng dan sambal.

Di negeri Terengganu, nasi dagang menggunakan campuran beras pulut dan beras Siam. Manakala nasi dagang versi Kelantan menggunakan beras nasi dagang yang berwarna seakan-akan ungu. Nasi untuk nasi dagang dimasak dengan kaedah kukus. Sebelum beras dikukus, ia perlu direndam semalaman dahulu. Semasa proses memasak, beras ini dicampur dengan halba, bawang besar dan santan. Campuran halba memberikan aroma yang unik kepada nasi.

Gulai ikan yang disediakan bersama-sama nasi dagang juga dikenali sebagai gulai darat. Ikan tongkol merupakan bahan utama dalam penyediaan gulai ini. Selain daripada ikan tongkol, ikan tenggiri juga boleh digunakan. Sekiranya tidak menggunakan ikan, udang besar juga boleh di masak gulai. Gulai ini dimasak mengikut cara masakan gulai orang Melayu bukan seperti gulai Mamak. Untuk menyediakan gulai ini, santan dimasak bersama-sama dengan campuran herba dan rempah Melayu seperti serai, lengkuas, cili giling dan kunyit.





RESEPI NASI DAGANG



Bahan-bahan:

Beras pulut               ½ cawan
Beras Siam              3 cawan
Halia – dihiris          1 inci
Halba                     1 sudu besar
Bawang merah        2 ulas
Santan pekat          1 cawan / 250ml
Santan cair             1 cawan / 250ml




Prosuder memasak:


1. Beras pulut dan bersa Siam dibasuh bersih. Satukan dan rendam semalaman.

2. Beras dituskan dan dikukus selama 20 minit. Keluarkan beras dari kukusan, masukkan ke dalam sebuah mangkuk. Tuangkan santan cair, balik-balikkan sehingga rata.

3. Masukkan kedalam Loyang dan kukus semula. Lakukan begini sebanyak kali tiga sehingga nasi agak lembut dan elok masaknya.

4. Akhir sekali, masukkan santan pekat sedikit demi sedikit sehingga rata dan berkilat (pastikan ia tidak terlalu lembik). Campurkan hirisan bawang, halia dan halba. Gaul semula. Kukus selama 5-10 minit lagi.

5. Hidangkan bersama gulai ikan tongkol dan acar rampai.

* tips : tambahkan sedikit gula dalam nasi supaya nasi menjadi lebih cantikmdan berkilat.


RESEPI GULAI IKAN TONGKOL





Bahan-bahan :

Ikan tongkol                 1 ekor
Santan                          250 ml
Asam gelugor               2 keping

Bahan A:
Rempah kari ikan          1 camca
Bawang merah              5 ulas
Halia                             1 inci
Bawang putih                3 ulas
Ketumbar biji                1 sudu besar
Jintan manis                   1 sudu teh
Cili kering                      10-15 tangkai


Cili api – diketuk            5 tangkai
Garam                            secukup rasa






Prosuder memasak:

1. Ikan tongkol direbus dengan sedikit air, asam gelugor dan garam sehingga masak.

2. Masukkan santan kedalam periuk yang berasingan dan masak dengan api perlahan sehingga mendidih. (Pastikan ia sentiasa di kacau supaya tidak berketul)

3. Masukkan bahan-bahan A yang telah dikisar dan biarkan mendidih semula.

4. Masukkan ikan dan cili api, perasakan dengan garam dan masak sehingga kuah agak pekat.




RESEPI ACAR



Bahan-bahan :

Timun                 1 biji
Lobak merah      1 biji
Bawang besar     ½ biji
Lada besar         1 tangkai
Cuka
Garam
Gula




Prosuder memasak:

1. Timun dan lobak merah dipotong memanjang. Bawang dan lada dimayang.

2. Campurkan semua bahan-bahan tersebut ke dalam bekas. Masukkan cuka, garam dan gula. Simpan dalam peti sejuk seketika.

No comments:

Post a Comment