[peminat kami]

Friday 30 November 2012

KUIH MUIH TEMPATAN PULAU PINANG


Negeri Pulau Pinang terdiri daripada penduduk yang pelbagai kaum. Kaum majoriti di negeri ini ialah kaum Cina diikuti dengan kaum Melayu dan kaum India. Dalam kaum Cina terdapat juga golongan Peranakan Nyonya. Perakan Nyonya ini hanya didapati di bahagian pulau. Kaum Melayu pula terdiri daripada Melayu tulen dan golongan Mami Penang.  Setiap suku kaum ini mempunyai kuih tradisi yang tersendiri. Kuih muih ini diperturunkan dari generasi dahulu hingga generasi kini. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa olahan atau inovasi yang telah berlaku pada resepi atau cara pembuatan kuih tersebut. Perubahan ini berlaku adalah kerana perubahan teknologi supaya memudahkan lagi pembuatan kuih.

Kuih muih tradisional yang terdapat di negeri Pulau Pinang ini banyak persamaan dengan kuih muih yang terdapat di negeri utara yang lain seperti Kedah, Perlis dan Perak. Hal ini kerana keempat-empat negeri ini saling berdekatan. Persamaannya ialah dari segi nama, proses pembuatan dan bahan. Namun demikian, terdapat juga kuih muih yang lain dari negeri-negeri ini.

Hasil daripada kajian dan temuramah dengan orang-orang tua, kuih tradisional Melayu di negeri Pulau Pinang ialah serabai, halwa maskat, cucur udang, tepung talam dan putu mayam. Bagi kuih tradisional kaum Peranakan Nyonya ialah pulut tekan, fatt kao, kuih ang ku dan kuih bengka. Manakala bagi kaum India ialah kuih vadai dan kuih keseri. 

                                       *****************************
                                                            SERABAI.


          Kuih serabai merupakan kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan santan. Kuih ini berwarna putih dan berbentuk bulat. Kuih ini dimasak menggunakan kaedah goreng tohor. Kuih ini mempunyai acuannya sendiri. Acuan kuih serabai berbentuk bulat. Ia akan dimakan bersama-sama dengan kuah gula yang dimasak dengan santan. Rasa kuahnya seperti lemak manis. Selain itu, sarabai boleh dimakan dengan kuah durian atau sekaya pandan. Kuih ini mudah ditemui pada bulan Ramadhan atau ketika kenduri arwah. 


                                                       CUCUR UDANG



           Cucur udang turut dikenali sebagai jemput-jemput udang di negeri selatan. Di negeri Pulau Pinang, cucur udang dipanggil ‘cucoq udang’ mengikut loghat negeri ini. Bahan utama cucur ialah tepung gandum dan udang. Adunan bater yang digunakan ialah bater pekat. Kaedah memasak yang digunakan bagi menyediakan kuih ini ialah menggoreng dengan minyak penuh. Selain dari bahan utamanya, adunan cucur boleh dicampur dengan taugeh, kucai, bawang besar dan cili merah. Kadang kala, cucur udang ini akan dicampur dengan jagung dan dipanggil cucur jagung. 

            Cucur biasanya dimakan dengan sos cili atau kuah kacang. Sos cili boleh didapati dalam dua jenis iaitu sos cili dalam botol atau sos cili manis yang boleh dibuat sendiri. Cucur udang boleh dinikmati sebagai rojak atau pasembor. Ia akan dimakan bersama dengan sengkuang, timun, taugeh, tauhu dan kuah kacang. Pasembor merupakan makanan yang sinonim dengan negeri Pulau Pinang. Cucur juga dicampur dalam mi goreng mamak dan mee rebus. 


HALWA MASKAT



         Halwa maskat merupakan kuih manisan yang biasa dijumpai pada hari perayaan atau majlis keramaian. Halwa maskat mempunyai tekstur seperti jeli dan berwarna kuning. Halwa maskat mempunyai rasa yang manis dan terdiri dari pelbagai bentuk. Adakala ia boleh didapati dalam bentuk bulat dan petak. Bahan utama halwa maskat ialah minyak sapi, tepung gandum dan tepung sagu. Selain dari itu, kismis, badam dan buah pelaga juga turut dicampur dalam halwa maskat. Proses memasak halwa maskat adalah rumit kerana tepung perlu direndam selama 2-3 hari dan perlu ditukar airnya setiap hari. Kaedah memasak yang digunakan ialah merebus dan merendidih. Apabila bahan-bahan dalam periuk telah mendidih, adunan akan dibiar merendidih sambil dikacau supaya tidak berkerak di bahagian bawah. Menurut orang-orang tua, semasa memasak halwa maskat kita perlu menggunakan periuk tembaga. Sekiranya dimasak dengan periuk biasa, warna halwa maskat akan jadi tidak menarik.



TEPUNG TALAM


          Tepung talam merupakan kuih manis dan berlemak. Kuih ini mempunyai dua lapisan iaitu santan dibahagian atas dan adunan tepung dibahagian bawah. Bahan utama yang digunakan ialah tepung beras dan santan. Kaedah memasak bagi kuih ini ialah kaedah mengukus. Pada masa kini, kuih tepung talam boleh didapati dalam pelbagai perisa. Biasanya lapisan bawah kuih yang menggunakan bahan tepung beras dan gula Melaka akan berwarna coklat. Ini merupakan perisa biasa bagi kuih tepung talam. Terdapat juga tepung talam pandan yang menggunakan jus daun pandan dalam adunan lapisan bawah kuih. Selain itu, tepung talam boleh didapati dalam perisa jagung, keladi, kacang merah dan cendol. Adunan lapisan bawah kuih boleh dimasak mengikut citarasa masing-masing. Kuih tepung talam ini mudah didapati di gerai dan pasar malam. Ia dijual didalam talam atau bekas plastik.




PUTU MAYAM


       Putu mayam merupakan kuih yang popular di negeri Pualu Pinang. Kuih ini berwarna puti dan mempunyai bentuk seperti bihun. Ia dimakan bersama-sama dengan gula perang dan kelapa parut. Bahan utama putu mayam ialah tepung beras. Kaedah memasak yang digunakan dalam penyediaan putu mayam ialah kaedah mengukus. Apabila tepung beras dicampur dengan air, ia akan dibentuk menjadi doh dan diperap. Kemudian, adunan doh akan dimasukkan kedalam acuan putu mayam dan diterap atas pengukus. Acuan putu mayam boleh didapati dalam bentuk plastik atau kayu. Putu mayam boleh didapati pada waktu pagi atau petang. Ia banyak dijual di gerai dan pasar malam.


***************************
gambar adalah dari carian Google

[ cik majidah ]
 

1 comment: